Sunday, April 5, 2015

Isu Halal Produk Tahun 2015


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
Minggu ini admin akan membincangkan pula isu hangat mengenai produk bebola ikan.

 Sumber : Kosmo Online


Siapa yang tidak suka makan bebola ikan bukan?
Admin sendiri pun gemar memakan bebola ikan.
Namun, sejak akhir-akhir ini pelbagai isu yang timbul mengenai keraguan status halal bebola ikan yang berada di pasaran.


Menurut kenyataan dalam surat khabar kosmo bertarikh 13 Februari 2015, bebola ikan yang berada di pasaran dikhuatiri mengandungi plasma darah haiwan termasuk khinzir. Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Mohd Amri Abdullah, beliau menyatakan bahawa plasma darah haiwan yang digunakan dalam memproseskan bebola ikan adalah terdiri daripada ayam, lembu dan khinzir. Tujuan plasma darah haiwan digunakan adalah kerana dapat mencantikkan dan menambah kualiti bebola ikan agar menjadi lebih kenyal. Menurut beliau lagi, anggota khinzir sama ada luaran atau dalaman mampu menghasilkan pelbagai produk yang berada di pasaran tanpa kita sedari. Salah satu produk tersebut adalah sosej dimana sarung sosej dikatakan dihasilkan daripada usus haiwan tersebut. Dalam Islam, orang Islam dilarang memakan makanan yang mengandungi mana-mana bahagian haiwan yang haram dimakan mengikut hukum syarak. Wallahu a'lam mengenai kesahihan produk tersebut. Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah layari kosmo online. 



Bukan produk bebola ikan dan sosej sahaja mengandungi campuran bahan ini, malahan terdapat beberapa produk lagi di pasaran yang masih bercampur dengan plasma darah. Mungkin ramai yang masih tidak mengetahui apa yang dimaksudkan dengan plasma darah. Plasma darah adalah sejenis cecair haiwan yang tidak mempunyai warna dan ia diproses menjadi serbuk. Kebanyakan serbuk ini digunakan bagi menambah kepejalan dan kekenyalan sesuatu produk.


Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan oleh Prof Dr Salmah Yusof iaitu pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), beliau mendedahkan hasil kajian daripada bebola ikan yang tertentu menunjukkan hasil yang positif daripada bahan tidak halal itu. Menurutnya lagi, plasma darah yang kaya dengan protein mampu meningkatkan kualiti sesuatu produk makanan seperti kenyal, mudah dihiris dan berwarna putih. Kebiasaannya, plasma darah dapat diperoleh daripada haiwan ternakan seperti ayam, lembu dan khinzir. Rujukan lebih lanjut mengenai kajian ini bolehlah layari blog Fakulti Sains dan Teknologi USIM.


Oleh itu, JAKIM menyarankan orang ramai terutama orang Islam agar berhati-hati semasa membeli apa sahaja keluaran produk bebola ikan. Orang ramai digalakkan melihat terlebih dahulu logo halal yang disahkan JAKIM bagi setiap keluaran produk bebola ikan kerana masih terdapat keluaran produk bebola ikan yang tidak diiktiraf status halalnya oleh JAKIM. Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah merujuk Utusan Online.


Kesimpulannya, tidak rugi sekiranya anda berbelanja lebih untuk membeli produk yang mahal sekalipun agar kualiti produk terjamin dan diiktiraf status halalnya oleh JAKIM. Jadilah pengguna yang bijak dalam memilih sesuatu produk. 



















No comments:

Post a Comment