Sunday, April 26, 2015

Matlamat hisbah dan kaitannya dengan matlamat JAKIM dalam pemantauan status halal sesuatu produk



Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera sebagai pembuka bicara penulisan blog saya  ini. Pada kali ini, saya akan membincangkan serba-sedikit mengenai perkaitan diantara matlamat yang ingin dicapai dalam hisbah dan juga matlamat dalam pemantauan status halal oleh JAKIM. 


Hisbah sepertimana dijelaskan dalam penulisan blog sebelum telah lama dilaksanakan sejak di zaman awal Islam lagi. Pelaksanaan hisbah telah lama dilaksanakan sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Buktinya, pegawai-pegawai dilantik oleh baginda bukan sahaja mengawasi perjalanan pasar malahan urusan perdagangan. Tujuan mereka dilantik adalah dengan memastikan tidak berlaku penindasan atau penipuan dan semua pihak mematuhi sistem timbangan dan sukatan. Disebabkan itulah keadilan dapat diwujudkan dalam setiap urusniaga. Amalan ini telah diteruskan oleh para Khalifah ar-Rasyidin sehingga kini. Perlaksanaan sistem ini penting bagi megekalkan pengurusan dan pentadbiran berteraskan Islam. 


Matlamat utama hisbah  adalah untuk melaksanakan perintah Allah SWT iaitu menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk melaksanakan matlamat ini di muka bumi. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003) dalam bukunya yang bertajuk "Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam" ada menyatakan bahawa manusia adalah hamba dan khalifah Allah yang berperanan untuk melaksanakan makruf dan mencegah yang mungkar. 


Secara umumnya matlamat hisbah berkait rapat dengan mentauhidkan Allah SWT iaitu manusia dengan Allah SWT. Allah SWT sentiasa mengawasi tingkah laku manusia. Hubungan manusia dengan manusia perlulah dipelihara dari semua aspek iaitu ekonomi, politik, sosial dan agama. Bagi memastikan kesemua aspek ini terpelihara maka segolongan manusia yang terpilih perlulah dilantik. Sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah SWT:


"Dan hendaklah ada dari antara kamu suatu umat yang bertugas menyeru manusia kepada kebaikan dan menegah kemungkaran. Itulah golongan yang memperoleh kemenangan." (Surah Al-Imraan 3:103)


Berdasarkan ayat tersebut dapat disimpulkan bahawa sebagai sebuah negara Islam, golongan tersebut perlu wujud bagi mencapai matlamat ini. Disebabkan itulah sesebuah institusi telah diwujudkan dan dikenali sebagai institusi hisbah. Institusi ini bertanggungjawab dalam merealisasikan perintah Allah SWT ini. 


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan salah satu institusi yang berperanan penting dalam melaksanakan hisbah ini. JAKIM adalah institusi yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana premis yang telah membuat permohonan. 


Sebelum sijil halal dikeluarkan, setiap premis akan dipantau oleh JAKIM terlebih dahulu. Terdapat banyak aspek yang dipantau antaranya ialah jenis produk, tempat, bahan kandungan, kebersihan, peralatan dan sebagainya. JAKIM telah menggunakan garis panduan yang dinyatakan dalam Islam sebagai aspek pemantauan yang dilakukan. Garis panduan tersebut adalah seperti berikut:


  1. Tidak mengandungi mana-mana bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang makan atau tidak disembelih mengikut hukum syarak.
  2. Tidak bercampur di dalamnya dengan apa-apa yang dianggap najis mengikut hukum syarak.
  3. Peralatan yang digunakan ketika penyediaan, pemprosesan atau pengilangan adalah bebas daripada benda-benda najis mengikut hukum syarak.
  4. Semasa penyediaan, pemprosesan atau penyimpanan tidaklah bersentuhan atau berdekatan dengan mana-mana makanan yang tidak mematuhi kehendak garis panduan a, b, dan atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis dalam hukum syarak. 


Walaubagaimanapun, setiap premis yang telah diberikan sijil halal akan dipantau dari masa ke masa. Perkara ini penting kerana bagi memastikan status halal sentiasa terjamin dan setiap premis sentiasa mengikuti prosedur atau piawaian yang ditetapkan oleh JAKIM. Sekiranya terdapat premis yang melanggar piawaian tersebut, JAKIM berhak dan berkuasa untuk menarik balik sijil halal yang telah diberikan kepada premis tersebut sebelum ini.


RUJUKAN:

  1. Mohamad Ezam Mohd Nor dan Sapto Waluyo (2010), "Islam dan Persoalan Rasuah", halaman 74-75.
  2. Mardzelah Makhsin (2008), "Hisbah: Sistem Pengawasan dan Etika Pengurusan Islam", halaman 33-34.
  3. Mohd Noorizzuddin Nooh (2007), "Penjenamaan Halal Satu Paradigma Baru", halaman 2.


No comments:

Post a Comment