Sunday, April 12, 2015

Apakah yang dimaksudkan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kaitannya dalam pemantauan sesuatu produk halal oleh JAKIM?



Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada pengunjung blog saya ini. Pada kali ini saya akan menerangkan serba-sedikit mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP). Mungkin ramai yang tidak tahu dan keliru dengan maksud SOPBaiklah saya akan memulakan penerangan mengenai definisi SOP.


Definisi SOP



Secara umumnya, SOP adalah suatu set arahan atau perintah kerja yang terperinci dan bertulis yang harus diikuti bagi mencapai keseragaman dalam menjalankan sesuatu pekerjaan tertentu dengan berpandukan matlamat yang ingin dicapai.



Menurut EPA (2001), SOP  adalah serangkaian peraturan yang didokumentasikan berdasarkan kegiatan yang dilakukan secara berulang dalam sesebuah organisasi. Manakala menurut FEMA (1999) pula, SOP merupakan suatu panduan yang menjelaskan bagaimana suatu proses harus dilaksanakan secara terperinci. Manakala, Lingappan (2000) mendefinisikan SOP sebagai satu rangkaian peraturan yang digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku. 



Bagi memenuhi keperluan pematuhan, SOP perlulah ditulis dengan baik. Dengan adanya SOP, membolehkan kita mengendalikan dokumen-dokumen seperti pelan, peraturan, pematuhan dan dasar-dasar. SOP digunakan oleh orang yang bekerjaya dalam persekitaran kerja mereka. SOP juga turut digunakan dalam sesebuah organisasi.




SOP dalam pemantauan status halal produk



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah salah satu institusi yang menggunakan SOP dalam memantau status halal sesuatu produk. Melalui SOP yang ditetapkan oleh JAKIM, sebarang penyelewengan tidak akan berlaku dan JAKIM tidak akan memberi apa-apa kelebihan terhadap orang yang berkepentingan dalam sebarang perkara yang membabitkan status halal. 



Merujuk kepada artikel utusan bertarikh 5 Jun 2014, menyatakan bahawa status halal sesuatu produk boleh diluluskan apabila sudah dilaksanakan penilaian oleh empat kumpulan yang bertanggungjawab iaitu kumpulan peneliti, audit, penilaian dan pemantau.




Kumpulan peneliti memainkan peranan meneliti permohonan sijil halal secara dalam talian yang dibuat oleh sesebuah syarikat. Permohonan ini boleh dilakukan menerusi laman web Hub Halal, JAKIM atau e-halal. Pemohon perlu menyatakan kesemua ramuan atau bahan yang digunakan dalam penghasilan sesuatu produk. 




Seterusnya, kumpulan audit akan bertindak pergi ke kawasan atau ke kilang pemohon untuk melihat dan memastikan ia bertepatan dengan standard yang ditetapkan oleh JAKIM. Antara aspek yang dilihat oleh kumpulan audit adalah proses pembuatan produk, peralatan yang digunakan, persekitaran, kebersihan dan pekerja di premis berkenaan.




Setelah kumpulan audit berpuas hati, laporan tersebut dibawa ke peringkat penilaian. Selepas dinilai dan panel penilai bersetuju maka barulah sijil halal akan dikeluarkan. Walaupun sijil halal telah dikeluarkan, namun pemantauan tetap dilaksanakan secara berkala. Perkara ini amat penting kerana memastikan agar setiap premis yang sudah memperoleh sijil halal tidak melanggar sebarang piawaian yang ditetapkan oleh JAKIM. 



JAKIM turut melaksanakan pemantauan secara mengejut bagi sesebuah premis untuk memeriksa operasi sebenar yang dilakukan. Tujuan pemantauan ini dilakukan bagi mengelakkan berlakunya penipuan atau salah laku dalam pemilikan sijil halal. Terdapat lagi tiga jenis pemantauan yang dijalankan oleh JAKIM iaitu pemantauan berkala, pemantauan aduan awam dan pemantauan susulan.



Pemantauan berkala dijalankan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi pemegang sijil halal. Pemantauan yang dilakukan lebih daripada sekali setahun akan dilakukan terhadap syarikat berisiko tinggi iaitu berasaskan daging dan ayam, minyak dan lemak, rumah sembelih, tiada sistem kawalan halal, tiada eksekutif halal dan Jawatankuasa Halal Dalaman. JAKIM bekerjasama dengan agensi penguatkuasa berkaitan bagi menjalankan pemantauan berdasarkan aduan awam yang diterima. Pemantauan susulan dijalankan merangkumi pemeriksaan verifikasi terhadap tindakan pembetulan yang telahpun diambil oleh syarikat yang tidak mematuhi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia. Oleh itu, tindakan akan dikenakan mengikut jenis kesalahan. Maklumat lanjut boleh rujuk artikel utusan.



Kesimpulannya, JAKIM tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana syarikat tanpa permohonan dibuat oleh syarikat itu sendiri. Permohonan yang dilakukan oleh sesebuah syarikat perlulah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh JAKIM. Setiap permohonan diteliti dengan ketat agar kualiti dan status halal sesuatu produk terjamin. JAKIM juga turut menjalankan pemantauan walaupun sijil halal telah diberikan kepada sesebuah syarikat kerana JAKIM hendak memastikan mana-mana syarikat tidak melanggar peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan oleh JAKIM. Ini menunjukkan bahawa JAKIM telah menjalankan peranannya dengan sebaik mungkin. 



1 comment: