Monday, November 16, 2015

MAKANAN JASMANI DAN ROHANI MEMBENTUK PEMBANGUNAN ROHANI


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada para pengunjung blog ini. Kali ini penulis akan berkongsi mengenai tajuk "Makanan Jasmani dan Rohani Membentuk Pembangunan Rohani". Mungkin ramai yang kurang tahu mengenai "apa itu makanan jasmani dan rohani" dan "apa itu pembangunan rohani". Di sini saya akan kongsikan pemahaman saya serba sedikit berkenaan tajuk ini. Diharapkan perkongsian ini dapat membantu dan memberi manfaat kepada para pengunjung blog ini. 


Setiap manusia yang hidup di dunia ini perlulah berusaha mencari makanan untuk kelangsungan hidup. Terdapat dua kategori makanan iaitu makanan jasmani dan makanan rohani. Di sini saya akan menjelaskan serba sedikit mengenai dua kategori jenis makanan ini. 


Makanan jasmani umumnya adalah untuk keperluan kesihatan tubuh badan kita dan bersifat fizikal. Makanan jasmani yang diperlukan tubuh badan kita adalah terdiri daripada protein, karbohidrat, kalsium dan nutrisi yang lain. Ini menunjukkan bahawa makanan jasmani ini adalah bersifat sementara sahaja dalam tubuh badan iaitu manusia akan berasa nikmat rasa dan kenyang. Oleh itu, manusia perlulah berhati-hati dan peka untuk membeli makanan yang bersumberkan dan berstatus halal yang disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Antara gesaan Allah SWT terhadap umatnya untuk memakan makanan halal dapat dilihat dalam Surah al-Baqarah ayat 168 dan Surah al-Ma'idah ayat 88 yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu" (al-Baqarah 2:168)

dan 

"Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman" (al-Ma'idah 5:88)


Dalam dua ayat di atas dapat disimpulkan bahawa Allah SWT menyuruh dan mewajibkan manusia untuk memilih dan memakan makanan yang halal dan thoyyib. Makanan thoyyib dikategorikan sebagai makanan yang baik (Noor Fiteri Abdullah dan Masnisah Mukhtar, 2014). Makanan halal ini boleh dibahagikan kepada dua punca iaitu sesuatu makanan itu didefinisikan halal kerana zatnya dan halal kerana cara memperolehnya. Menurut Dody Dwi Sukmanto (2014), makanan halal kerana zatnya bermaksud perlulah diperbuat bahan-bahan yang halal barulah hukum memakannya adalah halal. Makanan tersebut boleh menjadi haram sekiranya cara memperoleh makanan tersebut tidak dibenarkan oleh Allah SWT. Manusia seharusnya mencari makanan yang mengandungi zat-zat seperti vitamin, protein, karbohidrat, dan jenis-jenis nutrisi yang lain untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Makanan halal kerana memperolehnya bermaksud walaupun sesuatu makanan tersebut halal kerana zatnya, tetapi cara memperolehnya adalah haram, maka diharamkan untuk memakan makanan tersebut. Sebagai contoh, manusia yang membeli makanan menggunakan duit yang diperoleh secara haram seperti berjudi, rasuah, mencuri, riba dan sebagainya menjadikan makanan tersebut haram. Secara ringkasnya, manusia harus berhati-hati memilih makanan halal bukan sahaja dari segi input makanan tersebut malahan juga cara pemprosesan, pengilangan makanan dan sebagainya. 


Makanan rohani pula umumya adalah makanan yang diperlukan untuk keperluan roh kita. Pelaksanaan pembangunan rohani tidak mungkin terbentuk sekiranya tidak melaksanakan ibadah kepada Allah SWT kerana ibadah merupakan asas-asas atau perkaedahan kepada pembangunan rohani manusia di atas muka bumi ini. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), ibadah terbahagi kepada tiga iaitu ibadah asas, amalan-amalan utama dan ibadah umum. Ibadah umum merupakan fardhu 'ain yang wajib dilaksanakan oleh setiap manusia. Dengan ibadah asas ini manusia bukan sahaja dapat meningkatkan hubungan dengan Allah SWT malahan juga dapat membangunkan kerohanian pada diri sendiri dengan cara menunaikan solat, berpuasa, membayar zakat, menunaikan haji dan sebagainya. Amalan-amalan utama pula terdiri daripada melakukan perkara-perkara sunat, berzikir, bertasbih, berwirid dan sebagainya. Amalan-amalan ini tidaklah wajib untuk dilaksanakan tetapi Allah SWT menggalakkan sebagai amalan tambahan kepada amalan wajib. Di sini kita dapat lihat bahawa manusia yang melakukan amalan-amalan sunat ini bukan sahaja dapat menjaga hubungan dengan Allah SWT dan meningkatkan kerohanian dalam diri malahan juga dapat meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT. Seterusnya ibadah terakhir iaitu ibadah umum yang bersifat fardhu kifayah. Fardhu kifayah bermaksud kewajipan yang diberikan pada seluruh umat manusia iaitu seseorang individu tidak wajib untuk melaksanakan tugas tersebut sekiranya terdapat individu lain dalam kelompok manusia telah melaksanakannya. Sebagai contoh, bermuamalat, menceburi bidang perubatan, kehakiman, politik, pembangunan dan sebagainya. Dengan pelaksanaan ibadah ini maka manusia bukan sahaja dapat menjaga hubungan manusia dengan Allah SWT dan hubungan manusia dengan manusia malahan juga hubungan manusia dengan sumber alam. Secara ringkasnya, kesemua ibadah dan amalan-amalan ini diperolehi dengan usaha dan keikhlasan manusia untuk melaksanakannya. Sebagai contoh, amalan-amalan harian yang dilakukan seperti berzikir, menunaikan solat, menyebut 99 nama Allah SWT, mendengar ceramah dan sebagainya adalah atas usaha dan niat manusia melakukan secara istiqamah. Perkara ini menunjukkan bahawa makanan rohani ini bersifat berkekalan sehingga di akhirat kelak kerana manusia yang melaksanakannya telah mendekatkan diri dengan Allah SWT.


Pembangunan rohani pula menunjukkan bahawa berlakunya penambahbaikan dalam jiwa dan roh manusia. Menurut Mostafa Kamal Mokhtar (2003), pembangunan rohani merujuk kepada jiwa dan roh manusia yang bersifat pelakuan yang mulia. Sifat-sifat mulia yang dimaksudkan adalah nilai-nilai murni dan terpuji yang oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan adanya sifat-sifat mulia ini manusia akan mendapat keredhaan dan kerahmatan Allah SWT di dunia dan di akhirat kelak. Ringkasnya, pembangunan rohani bermula dengan tindakan dan perlakuan manusia sendiri untuk berubah dan menjurus ke arah kebaikan semasa hidup di muka bumi. Terdapat banyak sifat-sifat mulia yang disuruh oleh Allah iaitu amanah, sabar, adil dan saksama, berani dan sebagainya. Dengan adanya sifat-sifat mulia ini, manusia bukan sahaja dapat menjaga hubungan sesama manusia dan sumber alam malahan hubungan manusia dengan Allah SWT turut terpelihara. Oleh itu, pembangunan rohani ini dapat dilahirkan dengan pemakanan jasmani dan rohani yang diambil oleh manusia seharian. Makanan jasmani dan rohani ini menjadi asas pembentukan pembangunan rohani setiap manusia.  


Makanan yang diambil oleh manusia banyak mempengaruhi pembangunan rohani manusia. Sekiranya sumber dan cara mendapatkan makanan tersebut diterima di sisi Allah SWT, maka lahirlah pembentukan rohani yang baik dalam diri manusia dan begitu jugalah sebaliknya. Menurut Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi (2000), pandangan Islam menekankan bahawa kesihatan manusia yang baik sama ada dari segi rohani atau jasmani bermula dengan makan dan minum manusia. Pembangunan rohani manusia dapat dipelihara dengan pengambilan makanan jasmani dan rohani yang bukan sahaja bersih dan mengandungi khasiat yang tinggi malahan cara dan sumber memperolehnya adalah halal. Ringkasnya, setiap makhluk di atas muka bumi ini memerlukan makanan untuk meneruskan kehidupan. Namun begitu, berapa ramai manusia yang memikirkan kesan pengambilan makanan tersebut terhadap pembangunan rohani diri sendiri? Allah SWT telah menetapkan panduan kepada manusia untuk memilih makanan yang sihat, bersih dan halal bagi membina pembentukan rohani yang sempurna. 


Kesimpulannya, pemakanan yang diambil oleh manusia seharian bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan malahan juga memberi kesan kepada pembentukan rohani dalam diri manusia. Oleh itu, bagi melahirkan pembangunan rohani yang sempurna maka manusia perlulah mengikut panduan yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam pemilihan makanan.  



Rujukan:


1) Muhammad Syukri Salleh (2003). "7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam". Diterbitkan oleh Zebra Editions Sdn. Bhd. 

2) Noor Fiteri Abdullah dan Masnisah Mukhtar (2014). "Keraguan Penggunaan Bahan Dalam Pengendalian Makanan Moden". 

3) Dody Dwi Sukmanto (2014). "Aplikasi Pembelajaran Agama Islam SMP Penentu Halal Haram Makanan dari Jenis Hewan Berbasis Android".

4) Mostafa Kamal Mokhtar (2003). "Pembangunan Rohani Menurut Perspektif Tasawuf dan Psikologi Moden".

5) Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi (2000). "Konsep Kesihatan Melalui Pemakanan Pendekatan Islam dan Sains". Utusan Publications dan Distributors Sdn Bhd.