Sunday, March 29, 2015

Isu hangat status halal produk tahun 2014



Assalamualaikum dan salam perkenalan. Kali ini saya akan menerangkan serba sedikit mengenai isu panas yang pernah timbul berkaitan status halal sesuatu produk. Sering kali wujudnya keraguan terhadap sesuatu produk walaupun telah mendapat pengiktirafan status halal daripada JAKIM. Antara produk yang hangat diperkatakan status halalnya oleh masyarakat adalah coklat cadbury. 


Isu Coklat Cadbury dan DNA babi


Secara umunya, ramai yang tahu dan pernah merasai keenakkan coklat jenama cadbury. Namun, terdapat keraguan dan isu yang timbul berkaitan produk ini. Coklat cadbury ini diperkatakan dan diragui mempunyai Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi.


Dua sampel coklat cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan mengandungi DNA babi (procine).




Isu ini telah dikenal pasti apabila tiga sampel coklat susu Cadbury telah diambil untuk dianalisa bagi tujuan pemantauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Berdasarkan keputusan analisis yang dibuat KKM mendapati dua sampel dikesan mengandungi DNA babi iaitu coklat susu dengan kacang hazel nombor kelompok 200813M01HI2 yang bertarikh luput pada 13 November 2014 dan coklat susu dengan buah badam nombor kelompok 221013N01RI1 yang bertarikh luput pada 15 Januari 2015. Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah melayari laman web utusan.com.my. 


Menurut Syarikat Cadbury Confectionary Malaysia Sdn Bhd, mereka telah menarik balik produk tersebut di pasaran. Mereka yakin bahawa produk keluaran mereka tersebut tidak mengandungi DNA babi. Mereka menyatakan bahawa produk cadbury yang dikeluarkan oleh Malaysia adalah disahkan halal oleh JAKIM. Lokasi dan bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk tersebut juga adalah halal dan menepati peraturan-peraturan yang ditetapkan JAKIM. Syarikat cadbury juga telah menggunakan prosedur kulaiti yang ketat untuk memastikan bahawa produk keluaran mereka mematuhi standard tertinggi kualiti dan keselamatan mereka. Maklumat lanjut boleh dilayari dilaman web sinar harian.


Menurut Datuk Othman Mustapha iaitu Ketua Pengarah JAKIM, sijil halal telah lama diberikan kepada Syarikat Cadbury sejak tahun 2004. Pemeriksaan kali terakhir yang dijalankan ke atas syarikat tesebut adalah pada 20 Februari 2014 dan masa tersebut Syarikat Cadbury masih mematuhi piawaian sijil halal.


Mengikut prosedur operasi standard (SOP) pensijilan halal JAKIM, setiap syarikat yang ingin mengemukakan permohonan perlulah menerusi sistem e-halal dan wajib menyenaraikan bahan kandungan yang digunakan. Kemudian, Jabatan Kimia akan menjalankan ujian untuk setiap produk tersebut kerana jabatan ini mendapat akreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia. Hanya ujian yang dijalankan oleh Jabatan Kimia sahaja yang digunapakai untuk pensijilan halal dan pendakwaan di mahkamah. Menurutnya lagi, proses mengambil sampel perlu dibuat mengikut peraturan ketat yang ditetapkan. JAKIM telah melantik pihak tertentu untuk mengambil sampel dan ia mestilah diambil dari kilang sahaja. Sampel tidak boleh diambil di kedai atau mana-mana tempat selain kilang kerana kita tidak mengetahui apa yang berlaku diluar sana. Untuk maklumat lanjut bolehlah layari laman web astro awani.


Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa JAKIM telah melaksanakan peranan mereka untuk memastikan kualiti sesuatu produk terjamin. Pemantauan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh JAKIM adalah ketat dan tidak sewenang-wenangnya boleh dipersoalkan. JAKIM turut melantik jabatan atau organisasi lain untuk bekerjasama dalam jaminan status halal produk.









Sunday, March 22, 2015

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Bagi menjawab persoalan "siapakah" dan "apakah peranan" pihak yang bertanggungjawab dalam "post" saya pada minggu lepas akan dijawab dalam post minggu ini. Dalam "post" ini saya akan menerangkan serba sedikit mengenai pihak bertanggungjawab tersebut.

Kronologi Penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah ditubuhkan pada tahun 1968 dengan nama Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). Penubuhan MKI ini telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.

Pada tahun 1974, urus setia MKI dinaiktaraf menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS).

Seterusnya pada tarikh 2 Oktober 1996, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju dengan perakuan Jabatan Perdana Menteri untuk menaiktarafkan BAHEIS menjadi sebuah jabatan.

Pada tarikh 1 Januari 1997, nama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah dikuatkuasakan dan digunakan sehingga kini.

Untuk mendapat keterangan lebih lanjut mengenai JAKIM, anda boleh melayari laman web Portal JAKIM 

Peranan dan Fungsi JAKIM Dalam Industri Halal

  • Menurut Zawanah Binti Muhammad, Haji Munir Bin Haji Md. Salleh, Abdul Muhaimin Bin Mahmood (2010), JAKIM merupakan pusat rujukan perkembangan hukum berikutan pesatnya industri halal masa kini. JAKIM turut mewujudkan laman soal jawab agama melalui portal JAKIM sendiri. Portal ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung portal yang ingin mendapatkan penjelasan hukum dalam pelbagai aspek kehidupan. Buktinya,  JAKIM telah menerima sebanyak 6298 soalan pada tahun 2007 dan pada 2008 sehingga bulan Jun JAKIM telah menerima 4871 soalan. JAKIM turut menyediakan ruangan melalui aduan-aduan awam yang boleh dikemukakan oleh pengguna dan masyarakat Islam. 



  • JAKIM bukan sahaja mendidik masyarakat menjadi pengguna yang peka terhadap produk halal, bahkan juga mengajak masyarakat menjadi pengusaha, pengeluar dan usahawan produk halal yang berjaya.  



  • Pada tarikh 1 September 2002, kerajaan memutuskan bahawa semua urusan pengesahan halal termasuk tugas pemeriksaan dilaksanakan sepenuhnya oleh JAKIM. Sebelum ini, JAKIM hanya menjalankan tugas pemantauan dan pengeluaran sijil manakala tugas pemeriksaan premis halal dilaksanakan oleh sebuah syarikat yang dilantik oleh pihak kerajaan iaitu Syarikat Ilham Daya Sdn Bhd. 


  • Kini, JAKIM menjadi agensi pemantau unggul dalam pematuhan syariah untuk pelbagai produk perkhidmatan dan kepenggunaan Islam khususnya dalam bidang sistem kewangan Islam dan industri halal. 


  • Bagi meningkatkan kualiti sijil halal di peringkat nasional, JAKIM telah bekerjasama dengan Standards and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM) melalui Jabatan Standard Malaysia dengan merangka dan menggubal standard yang digunapakai di Malaysia iaitu MS1500:2004. Kod MS1500:2004 merupakan standard kualiti dan garis panduan serta rujukan oleh industri-industri di Malaysia. 


Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa JAKIM merupakan institusi penting yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan, memeriksa dan memantau status halal produk. Walaupun JAKIM mempunyai banyak peranan penting dalam pelbagai aspek, namun blog ini hanya menekankan kepada aspek halal produk sahaja. 


Saya berharap blog ini mampu memberi dan membantu anda sekalian dari segi input maklumat yang bermanfaat untuk semua masyarakat. Nantikan sambungan blog pada minggu hadapan dengan skop yang lebih kecil mengenai status halal produk. Sekian, Terima Kasih


RUJUKAN:

Zawanah Binti Muhammad, Haji Munir Bin Haji Md. Salleh dan Abdul Muhaimin Bin Mahmood (2011). "Halal: Antara Tuntutan Agama dan Strategi Ekonomi" diakses dari http://e-muamalat.gov.my/kertasilmiah/halal-antara-tuntutan-agama-dan-strategi-ekonomi



Sunday, March 15, 2015

Bagaimanakah logo halal yang diiktiraf?





Logo halal yang diiktiraf JAKIM



Logo halal adalah logo yang dikeluarkan dan mendapat pengesahan JAKIM/ JAIN/ MAIN.

Kebiasaannya logo halal berbentuk bulat, mempunyai perkataan halal dan Malaysia dalam bentuk jawi dan rumi.

Antara ciri-ciri yang perlu ada pada tanda logo halal yang diiktiraf JAKIM dapat dirujuk pada Portal Rasmi Halal Malaysia.


Walau bagaimanapun, masih terdapat status logo halal yang masih meragukan kita. 

Antara logo-logo halal yang meragukan ini kebanyakannya digunakan oleh syarikat swasta. Logo ini diharamkan kerana tidak mengikut dan diragui dari segi hukum syarak dan tidak mendapat pengiktirafan yang sah.


Logo halal yang tidak dibenarkan



Oleh itu, pembeli atau pengguna sesuatu produk khususnya orang Islam sendiri perlulah merajinkan diri dan peka dengan logo halal sewaktu membeli sesuatu produk. Rajinkanlah tangan dan mata anda untuk memeriksa logo halal dan kalau anda rajin lagi bolehlah memeriksa kandungan bahan yang terdapat pada produk yang ingin dibeli.


Bagi mengatasi masalah wujudnya pelbagai jenis bentuk dan tanda logo halal, pihak yang bertanggungjawab perlulah memainkan peranan yang sewajarnya agar masyarakat terutamanya orang Islam tidak tersalah membuat pilihan sebelum membeli sesuatu produk.


Sepertimana yang kita sedia maklum bahawa setiap produk yang dihasilkan perlulah mendapatkan status halal. Setiap syarikat perlulah berdaftar dan membuat permohonan untuk mendapatkan status tanda halal produk. 



Setiap permohonan akan dilihat dari segi aspek penyediaan, pemprosesan, penyimpanan, pengilangan dan jenis pengangkutan. Kesemua aspek ini penting agar produk yang dihasilkan selari dan mengikut hukum syarak.


Siapakah pihak yang bertanggungjawab tersebut?
Apakah peranan pihak bertanggungjawab tersebut bagi mengatasi masalah ini?
Persoalan-persoalan ini akan dirungkaikan dalam "post" yang seterusnya.

Saturday, March 14, 2015

Apakah maksud halal dan haram?



Assalamualaikum w.b.t.


Salam perkenalan dan ukhuwah untuk pengunjung blog saya ini. Tujuan blog ini ditulis adalah bagi melengkapi kursus yang diambil iaitu SYW501.


Blog ini akan membincangkan tentang status halal produk.
Mungkin ramai yang "konfius" atau masih ragu-ragu dengan status halal produk yang berada di pasaran. 

Baiklah, saya akan menerangkan serba sedikit mengenai apa yang dimaksudkan halal dan haram.

Halal

Secara umumnya, halal dapat didefinisikan dengan maksud dibenarkan, disahkan atau dibolehkan untuk menggunakan sesuatu produk. 

Dari segi istilah pula halal bermaksud sesuatu yang dibolehkan menurut hukum syarak, tidak dikira berdosa bagi yang mengerjakannya dan tidak dikenakan hukuman. 

Halal berasal dari kalimah Arab iaitu halla, yahillu, hillan, wahalalan yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh hukum Syarak.

Menurut firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah (2:172) yang bermaksud:



“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya”. 


Dalam ayat tersebut dapat disimpulkan bahawa umat Islam terutamanya wajib memakan makanan bersumberkan sesuatu yang halal.

Terdapat beberapa garis panduan untuk menentukan definisi makanan halal. Antaranya ialah:


  1. Tidak terkandung atau terdiri di dalamnya mana-mana  bahagian atau benda dari binatang yang dilarang oleh hukum syarak atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak untuk orang Islam memakannya.
  2. Di dalamnya tidak mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.
  3. Penyediaan, pemprosesan atau pengilangannya bukanlah menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengikut hukum syarak.
  4. Masa penyediaan, pemprosesan atau penyimpanan adalah tidak bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak    memenuhi kehendak garis panduan 1, 2 dan atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.


Baiklah, itu adalah penerangan serba sedikit mengenai pengertian halal. Seterusnya kita lihat pula kepada pengertian haram.

Haram

Secara umumnya, haram dari segi makanan itu ialah memakan makanan yang diharamkan oleh syarak seperti makanan yang bernajis, bangkai, makanan beracun dan makanan-makanan yang mengandungi bahan-bahan yang memabukkan dan mengganggu kesihatan tubuh badan.


RUJUKAN:
  1. Mohd Noorizzuddin Nooh(2007)."Penjenamaan Halal Satu Paradigma Baru". Diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (Halaman 2).