Sunday, March 22, 2015

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Bagi menjawab persoalan "siapakah" dan "apakah peranan" pihak yang bertanggungjawab dalam "post" saya pada minggu lepas akan dijawab dalam post minggu ini. Dalam "post" ini saya akan menerangkan serba sedikit mengenai pihak bertanggungjawab tersebut.

Kronologi Penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah ditubuhkan pada tahun 1968 dengan nama Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). Penubuhan MKI ini telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.

Pada tahun 1974, urus setia MKI dinaiktaraf menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS).

Seterusnya pada tarikh 2 Oktober 1996, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju dengan perakuan Jabatan Perdana Menteri untuk menaiktarafkan BAHEIS menjadi sebuah jabatan.

Pada tarikh 1 Januari 1997, nama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah dikuatkuasakan dan digunakan sehingga kini.

Untuk mendapat keterangan lebih lanjut mengenai JAKIM, anda boleh melayari laman web Portal JAKIM 

Peranan dan Fungsi JAKIM Dalam Industri Halal

  • Menurut Zawanah Binti Muhammad, Haji Munir Bin Haji Md. Salleh, Abdul Muhaimin Bin Mahmood (2010), JAKIM merupakan pusat rujukan perkembangan hukum berikutan pesatnya industri halal masa kini. JAKIM turut mewujudkan laman soal jawab agama melalui portal JAKIM sendiri. Portal ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung portal yang ingin mendapatkan penjelasan hukum dalam pelbagai aspek kehidupan. Buktinya,  JAKIM telah menerima sebanyak 6298 soalan pada tahun 2007 dan pada 2008 sehingga bulan Jun JAKIM telah menerima 4871 soalan. JAKIM turut menyediakan ruangan melalui aduan-aduan awam yang boleh dikemukakan oleh pengguna dan masyarakat Islam. 



  • JAKIM bukan sahaja mendidik masyarakat menjadi pengguna yang peka terhadap produk halal, bahkan juga mengajak masyarakat menjadi pengusaha, pengeluar dan usahawan produk halal yang berjaya.  



  • Pada tarikh 1 September 2002, kerajaan memutuskan bahawa semua urusan pengesahan halal termasuk tugas pemeriksaan dilaksanakan sepenuhnya oleh JAKIM. Sebelum ini, JAKIM hanya menjalankan tugas pemantauan dan pengeluaran sijil manakala tugas pemeriksaan premis halal dilaksanakan oleh sebuah syarikat yang dilantik oleh pihak kerajaan iaitu Syarikat Ilham Daya Sdn Bhd. 


  • Kini, JAKIM menjadi agensi pemantau unggul dalam pematuhan syariah untuk pelbagai produk perkhidmatan dan kepenggunaan Islam khususnya dalam bidang sistem kewangan Islam dan industri halal. 


  • Bagi meningkatkan kualiti sijil halal di peringkat nasional, JAKIM telah bekerjasama dengan Standards and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM) melalui Jabatan Standard Malaysia dengan merangka dan menggubal standard yang digunapakai di Malaysia iaitu MS1500:2004. Kod MS1500:2004 merupakan standard kualiti dan garis panduan serta rujukan oleh industri-industri di Malaysia. 


Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa JAKIM merupakan institusi penting yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan, memeriksa dan memantau status halal produk. Walaupun JAKIM mempunyai banyak peranan penting dalam pelbagai aspek, namun blog ini hanya menekankan kepada aspek halal produk sahaja. 


Saya berharap blog ini mampu memberi dan membantu anda sekalian dari segi input maklumat yang bermanfaat untuk semua masyarakat. Nantikan sambungan blog pada minggu hadapan dengan skop yang lebih kecil mengenai status halal produk. Sekian, Terima Kasih


RUJUKAN:

Zawanah Binti Muhammad, Haji Munir Bin Haji Md. Salleh dan Abdul Muhaimin Bin Mahmood (2011). "Halal: Antara Tuntutan Agama dan Strategi Ekonomi" diakses dari http://e-muamalat.gov.my/kertasilmiah/halal-antara-tuntutan-agama-dan-strategi-ekonomi



No comments:

Post a Comment