Sunday, April 26, 2015

Matlamat hisbah dan kaitannya dengan matlamat JAKIM dalam pemantauan status halal sesuatu produk



Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera sebagai pembuka bicara penulisan blog saya  ini. Pada kali ini, saya akan membincangkan serba-sedikit mengenai perkaitan diantara matlamat yang ingin dicapai dalam hisbah dan juga matlamat dalam pemantauan status halal oleh JAKIM. 


Hisbah sepertimana dijelaskan dalam penulisan blog sebelum telah lama dilaksanakan sejak di zaman awal Islam lagi. Pelaksanaan hisbah telah lama dilaksanakan sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Buktinya, pegawai-pegawai dilantik oleh baginda bukan sahaja mengawasi perjalanan pasar malahan urusan perdagangan. Tujuan mereka dilantik adalah dengan memastikan tidak berlaku penindasan atau penipuan dan semua pihak mematuhi sistem timbangan dan sukatan. Disebabkan itulah keadilan dapat diwujudkan dalam setiap urusniaga. Amalan ini telah diteruskan oleh para Khalifah ar-Rasyidin sehingga kini. Perlaksanaan sistem ini penting bagi megekalkan pengurusan dan pentadbiran berteraskan Islam. 


Matlamat utama hisbah  adalah untuk melaksanakan perintah Allah SWT iaitu menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk melaksanakan matlamat ini di muka bumi. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003) dalam bukunya yang bertajuk "Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam" ada menyatakan bahawa manusia adalah hamba dan khalifah Allah yang berperanan untuk melaksanakan makruf dan mencegah yang mungkar. 


Secara umumnya matlamat hisbah berkait rapat dengan mentauhidkan Allah SWT iaitu manusia dengan Allah SWT. Allah SWT sentiasa mengawasi tingkah laku manusia. Hubungan manusia dengan manusia perlulah dipelihara dari semua aspek iaitu ekonomi, politik, sosial dan agama. Bagi memastikan kesemua aspek ini terpelihara maka segolongan manusia yang terpilih perlulah dilantik. Sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah SWT:


"Dan hendaklah ada dari antara kamu suatu umat yang bertugas menyeru manusia kepada kebaikan dan menegah kemungkaran. Itulah golongan yang memperoleh kemenangan." (Surah Al-Imraan 3:103)


Berdasarkan ayat tersebut dapat disimpulkan bahawa sebagai sebuah negara Islam, golongan tersebut perlu wujud bagi mencapai matlamat ini. Disebabkan itulah sesebuah institusi telah diwujudkan dan dikenali sebagai institusi hisbah. Institusi ini bertanggungjawab dalam merealisasikan perintah Allah SWT ini. 


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan salah satu institusi yang berperanan penting dalam melaksanakan hisbah ini. JAKIM adalah institusi yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana premis yang telah membuat permohonan. 


Sebelum sijil halal dikeluarkan, setiap premis akan dipantau oleh JAKIM terlebih dahulu. Terdapat banyak aspek yang dipantau antaranya ialah jenis produk, tempat, bahan kandungan, kebersihan, peralatan dan sebagainya. JAKIM telah menggunakan garis panduan yang dinyatakan dalam Islam sebagai aspek pemantauan yang dilakukan. Garis panduan tersebut adalah seperti berikut:


  1. Tidak mengandungi mana-mana bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang makan atau tidak disembelih mengikut hukum syarak.
  2. Tidak bercampur di dalamnya dengan apa-apa yang dianggap najis mengikut hukum syarak.
  3. Peralatan yang digunakan ketika penyediaan, pemprosesan atau pengilangan adalah bebas daripada benda-benda najis mengikut hukum syarak.
  4. Semasa penyediaan, pemprosesan atau penyimpanan tidaklah bersentuhan atau berdekatan dengan mana-mana makanan yang tidak mematuhi kehendak garis panduan a, b, dan atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis dalam hukum syarak. 


Walaubagaimanapun, setiap premis yang telah diberikan sijil halal akan dipantau dari masa ke masa. Perkara ini penting kerana bagi memastikan status halal sentiasa terjamin dan setiap premis sentiasa mengikuti prosedur atau piawaian yang ditetapkan oleh JAKIM. Sekiranya terdapat premis yang melanggar piawaian tersebut, JAKIM berhak dan berkuasa untuk menarik balik sijil halal yang telah diberikan kepada premis tersebut sebelum ini.


RUJUKAN:

  1. Mohamad Ezam Mohd Nor dan Sapto Waluyo (2010), "Islam dan Persoalan Rasuah", halaman 74-75.
  2. Mardzelah Makhsin (2008), "Hisbah: Sistem Pengawasan dan Etika Pengurusan Islam", halaman 33-34.
  3. Mohd Noorizzuddin Nooh (2007), "Penjenamaan Halal Satu Paradigma Baru", halaman 2.


Sunday, April 19, 2015

Apakah yang dimaksudkan dengan konsep hisbah bagi sesebuah institusi?


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera diucapkan kepada para pengunjung blog saya ini. Pada minggu ini saya akan menerangkan serba-sedikit mengenai hisbah. Mungkin ramai yang pernah dengar perkataan "hisbah" tetapi tidak mengetahui maksud sebenar perkataan tersebut. Baiklah saya berharap agar blog kali ini dapat membantu para pengunjung serba-sedikit tentang konsep hisbah ini.


Definisi hisbah


Secara umumnya, hisbah menyeru kepada melakukan kebaikan iaitu "amar makruf" dan mencegah melakukan kemungkaran iaitu "nahi munkar". Dalam pengurusan Islam, hisbah merupakan elemen penting bagi memelihara masyarakat dari segi sosial, ekonomi dan politik. 


Konsep hisbah dalam sesebuah institusi membawa makna mencongak, menyemak dan menilai pencapaian diri bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Dari segi bahasa, hisbah merupakan nama terbitan yang berasal daripada suku kata "حسب" yang membawa maksud bilang atau hitung.



Manakala dari segi istilah pula bermaksud menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran iaitu amar makruf dan nahi munkar. Berdasarkan sumber terjemahan Al-Quran Bahasa Melayu, istilah amar makruf nahi munkar ada dinyatakan dalam surah Al-Imraan (3:10)


A110



Terjemahan: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. Tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik ( sumber: http://www.surah.my/3 ).


Hisbah merupakan sistem pengawasan berlandaskan syariat Islam yang diamalkan dalam sesebuah organisasi atau institusi. Sistem pengawasan berlandaskan hisbah bukan sahaja digunapakai oleh organisasi, malahan individu dan masyarakat. Hisbah merupakan sistem pengawasan berlandaskan syariat Islam yang diamalkan dalam sesebuah organisasi atau institusi. 



Dalam konteks pengurusan, hisbah adalah sistem kawalan yang mengawasi setiap individu dan organisasi agar segala peraturan, perancangan dan matlamat tercapai. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan salah satu institusi yang telah menggunakan konsep hisbah dalam pemantauan halal sesuatu produk. 



JAKIM telah menetapkan kriteria-kriteria yang diambil kira mengikut hukum syarak. Antaranya ialah semua bahan-bahan kandungan yang digunakan hendaklah terdiri daripada bahan-bahan yang halal dimakan atau digunakan oleh orang Islam dan tidak boleh bercampur dengan apa-apa bahan yang tidak halal dimakan atau yang bernajis. Selain itu, semua peralatan yang digunakan untuk menyedia, memproses, mengilang, atau seumpamanya hendaklah dilihat terlebih dahulu agar bebas daripada benda-benda bernajis. Cara pengendalian juga termasuk pengangkutan, penyimpanan, penghidangan dan seumpamanya perlulah dipastikan tidak bersentuhan atau berdekatan dengan benda-benda yang diharamkan dalam Islam. 


Dengan menggunakan kriteria-kriteria ini, barulah sesuatu produk yang dihasilkan mampu diberikan sijil halal dan mendapat status halal tersebut. Disebabkan inilah JAKIM mengaplikasikan konsep hisbah dalam pemantauan mereka. 



Rujukan: 

  1. Weblog Cikgu Jumali, https://fastnote.wordpress.com/konsep-hisbah/
  2. Abdul Rashid Ahmad (2003). "Surah Luqman: Mendidik Anak Cemerlang". Dicetak oleh Maziza Sdn. Bhd.
  3. http://www.surah.my/3





Sunday, April 12, 2015

Apakah yang dimaksudkan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kaitannya dalam pemantauan sesuatu produk halal oleh JAKIM?



Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada pengunjung blog saya ini. Pada kali ini saya akan menerangkan serba-sedikit mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP). Mungkin ramai yang tidak tahu dan keliru dengan maksud SOPBaiklah saya akan memulakan penerangan mengenai definisi SOP.


Definisi SOP



Secara umumnya, SOP adalah suatu set arahan atau perintah kerja yang terperinci dan bertulis yang harus diikuti bagi mencapai keseragaman dalam menjalankan sesuatu pekerjaan tertentu dengan berpandukan matlamat yang ingin dicapai.



Menurut EPA (2001), SOP  adalah serangkaian peraturan yang didokumentasikan berdasarkan kegiatan yang dilakukan secara berulang dalam sesebuah organisasi. Manakala menurut FEMA (1999) pula, SOP merupakan suatu panduan yang menjelaskan bagaimana suatu proses harus dilaksanakan secara terperinci. Manakala, Lingappan (2000) mendefinisikan SOP sebagai satu rangkaian peraturan yang digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku. 



Bagi memenuhi keperluan pematuhan, SOP perlulah ditulis dengan baik. Dengan adanya SOP, membolehkan kita mengendalikan dokumen-dokumen seperti pelan, peraturan, pematuhan dan dasar-dasar. SOP digunakan oleh orang yang bekerjaya dalam persekitaran kerja mereka. SOP juga turut digunakan dalam sesebuah organisasi.




SOP dalam pemantauan status halal produk



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah salah satu institusi yang menggunakan SOP dalam memantau status halal sesuatu produk. Melalui SOP yang ditetapkan oleh JAKIM, sebarang penyelewengan tidak akan berlaku dan JAKIM tidak akan memberi apa-apa kelebihan terhadap orang yang berkepentingan dalam sebarang perkara yang membabitkan status halal. 



Merujuk kepada artikel utusan bertarikh 5 Jun 2014, menyatakan bahawa status halal sesuatu produk boleh diluluskan apabila sudah dilaksanakan penilaian oleh empat kumpulan yang bertanggungjawab iaitu kumpulan peneliti, audit, penilaian dan pemantau.




Kumpulan peneliti memainkan peranan meneliti permohonan sijil halal secara dalam talian yang dibuat oleh sesebuah syarikat. Permohonan ini boleh dilakukan menerusi laman web Hub Halal, JAKIM atau e-halal. Pemohon perlu menyatakan kesemua ramuan atau bahan yang digunakan dalam penghasilan sesuatu produk. 




Seterusnya, kumpulan audit akan bertindak pergi ke kawasan atau ke kilang pemohon untuk melihat dan memastikan ia bertepatan dengan standard yang ditetapkan oleh JAKIM. Antara aspek yang dilihat oleh kumpulan audit adalah proses pembuatan produk, peralatan yang digunakan, persekitaran, kebersihan dan pekerja di premis berkenaan.




Setelah kumpulan audit berpuas hati, laporan tersebut dibawa ke peringkat penilaian. Selepas dinilai dan panel penilai bersetuju maka barulah sijil halal akan dikeluarkan. Walaupun sijil halal telah dikeluarkan, namun pemantauan tetap dilaksanakan secara berkala. Perkara ini amat penting kerana memastikan agar setiap premis yang sudah memperoleh sijil halal tidak melanggar sebarang piawaian yang ditetapkan oleh JAKIM. 



JAKIM turut melaksanakan pemantauan secara mengejut bagi sesebuah premis untuk memeriksa operasi sebenar yang dilakukan. Tujuan pemantauan ini dilakukan bagi mengelakkan berlakunya penipuan atau salah laku dalam pemilikan sijil halal. Terdapat lagi tiga jenis pemantauan yang dijalankan oleh JAKIM iaitu pemantauan berkala, pemantauan aduan awam dan pemantauan susulan.



Pemantauan berkala dijalankan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi pemegang sijil halal. Pemantauan yang dilakukan lebih daripada sekali setahun akan dilakukan terhadap syarikat berisiko tinggi iaitu berasaskan daging dan ayam, minyak dan lemak, rumah sembelih, tiada sistem kawalan halal, tiada eksekutif halal dan Jawatankuasa Halal Dalaman. JAKIM bekerjasama dengan agensi penguatkuasa berkaitan bagi menjalankan pemantauan berdasarkan aduan awam yang diterima. Pemantauan susulan dijalankan merangkumi pemeriksaan verifikasi terhadap tindakan pembetulan yang telahpun diambil oleh syarikat yang tidak mematuhi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia. Oleh itu, tindakan akan dikenakan mengikut jenis kesalahan. Maklumat lanjut boleh rujuk artikel utusan.



Kesimpulannya, JAKIM tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana syarikat tanpa permohonan dibuat oleh syarikat itu sendiri. Permohonan yang dilakukan oleh sesebuah syarikat perlulah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh JAKIM. Setiap permohonan diteliti dengan ketat agar kualiti dan status halal sesuatu produk terjamin. JAKIM juga turut menjalankan pemantauan walaupun sijil halal telah diberikan kepada sesebuah syarikat kerana JAKIM hendak memastikan mana-mana syarikat tidak melanggar peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan oleh JAKIM. Ini menunjukkan bahawa JAKIM telah menjalankan peranannya dengan sebaik mungkin. 



Sunday, April 5, 2015

Isu Halal Produk Tahun 2015


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
Minggu ini admin akan membincangkan pula isu hangat mengenai produk bebola ikan.

 Sumber : Kosmo Online


Siapa yang tidak suka makan bebola ikan bukan?
Admin sendiri pun gemar memakan bebola ikan.
Namun, sejak akhir-akhir ini pelbagai isu yang timbul mengenai keraguan status halal bebola ikan yang berada di pasaran.


Menurut kenyataan dalam surat khabar kosmo bertarikh 13 Februari 2015, bebola ikan yang berada di pasaran dikhuatiri mengandungi plasma darah haiwan termasuk khinzir. Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Mohd Amri Abdullah, beliau menyatakan bahawa plasma darah haiwan yang digunakan dalam memproseskan bebola ikan adalah terdiri daripada ayam, lembu dan khinzir. Tujuan plasma darah haiwan digunakan adalah kerana dapat mencantikkan dan menambah kualiti bebola ikan agar menjadi lebih kenyal. Menurut beliau lagi, anggota khinzir sama ada luaran atau dalaman mampu menghasilkan pelbagai produk yang berada di pasaran tanpa kita sedari. Salah satu produk tersebut adalah sosej dimana sarung sosej dikatakan dihasilkan daripada usus haiwan tersebut. Dalam Islam, orang Islam dilarang memakan makanan yang mengandungi mana-mana bahagian haiwan yang haram dimakan mengikut hukum syarak. Wallahu a'lam mengenai kesahihan produk tersebut. Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah layari kosmo online. 



Bukan produk bebola ikan dan sosej sahaja mengandungi campuran bahan ini, malahan terdapat beberapa produk lagi di pasaran yang masih bercampur dengan plasma darah. Mungkin ramai yang masih tidak mengetahui apa yang dimaksudkan dengan plasma darah. Plasma darah adalah sejenis cecair haiwan yang tidak mempunyai warna dan ia diproses menjadi serbuk. Kebanyakan serbuk ini digunakan bagi menambah kepejalan dan kekenyalan sesuatu produk.


Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan oleh Prof Dr Salmah Yusof iaitu pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), beliau mendedahkan hasil kajian daripada bebola ikan yang tertentu menunjukkan hasil yang positif daripada bahan tidak halal itu. Menurutnya lagi, plasma darah yang kaya dengan protein mampu meningkatkan kualiti sesuatu produk makanan seperti kenyal, mudah dihiris dan berwarna putih. Kebiasaannya, plasma darah dapat diperoleh daripada haiwan ternakan seperti ayam, lembu dan khinzir. Rujukan lebih lanjut mengenai kajian ini bolehlah layari blog Fakulti Sains dan Teknologi USIM.


Oleh itu, JAKIM menyarankan orang ramai terutama orang Islam agar berhati-hati semasa membeli apa sahaja keluaran produk bebola ikan. Orang ramai digalakkan melihat terlebih dahulu logo halal yang disahkan JAKIM bagi setiap keluaran produk bebola ikan kerana masih terdapat keluaran produk bebola ikan yang tidak diiktiraf status halalnya oleh JAKIM. Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah merujuk Utusan Online.


Kesimpulannya, tidak rugi sekiranya anda berbelanja lebih untuk membeli produk yang mahal sekalipun agar kualiti produk terjamin dan diiktiraf status halalnya oleh JAKIM. Jadilah pengguna yang bijak dalam memilih sesuatu produk.