Sunday, May 3, 2015

Elemen hisbah dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) pemantauan status halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera kepada para pengunjung blog ini.
Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai elemen hisbah dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) pemantauan status halal oleh JAKIM. 


Sebelum ini saya ada menerangkan mengenai hisbah. Menurut Azrin Ibrahim (2014), hisbah dari sudut bahasa membawa maksud menghitung, menilai, menimbang atau mengira. Dari segi istilah syarak pula bermaksud menyuruh kepada melakukan perbuatan yang baik dan mencegah melakukan perbuatan yang dilarang dalam Islam. Ianya juga dapat dikenali sebagai melakukan amar makruf dan nahi munkar. 


Pemantauan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah memerhatikan dan memeriksa perkembangan dari aspek kemajuan, perjalanan dan sebagainya dalam sesuatu perkara. Pemantauan bertujuan bagi mengawal, mencegah, memperbaiki, mengawasi dan sebagainya. Menurut Suhartama Febrizki, pemantauan mempunyai prinsip-prinsip tertentu. Antaranya ialah pemantauan haruslah dilakukan secara berterusan, dapat memberikan manfaat yang baik terhadap organisasi, pengguna produk ataupun layanan, haruslah mempunyai objektif, haruslah mengikut peraturan yang sedia ada dan sebagainya


Dalam pemantauan SOP status halal sesuatu produk, terdapat elemen hisbah yang dikenalpasti. Mengikut SOP yang telah sedia ada bagi pemantauan produk, JAKIM perlu melihat kesemua aspek yang dinyatakan. Menurut Ani Irawan, setiap produk yang dikategorikan halal perlulah dipastikan penghasilan dan pemprosesannya adalah mengikut hukum syarak.


Dalam Islam, sekiranya produk yang menggunakan mana-mana bahagian binatang perlulah disembelih dahulu mengikut cara Islam dengan menyebut nama Allah. Binatang yang dimaksudkan adalah binatang yang dibenarkan dan dibolehkan makan dalam hukum syarak. Disini kita dapat lihat bahawa terdapat elemen hisbah iaitu mengajak kepada kebaikan iaitu premis yang menghasilkan produk perlulah memastikan penghasilan dan pemprosesan produk tersebut adalah mematuhi hukum syarak. Manakala mencegah dari kemungkaran iaitu mencegah manusia daripada memakan makanan yang boleh memudaratkan kesihatan. Oleh itu, JAKIM perlulah melakukan pemantauan dengan lebik kerap dan berterusan agar premis sentiasa mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh mereka.


Selain itu, JAKIM perlulah memantau tempat premis sendiri agar sentiasa dalam kebersihan. Maksudnya alat-alat yang digunakan, peghasilannya, pembungkusan dan sebagainya adalah wajib dipantau JAKIM agar status halal yang diberikan oleh JAKIM adalah berpatutan. Dalam Islam sendiri menyukai kebersihan, bukannya kekotoran. Perkara ini penting kerana kekotoran boleh menyebabkan produk yang dihasilkan memudaratkan kesihatan pengguna. Oleh itu dapatlah dilihat bahawa elemen kebersihan adalah menjurus kepada amar makruf. 


Disamping itu, premis yang ingin mendapatkan sijil halal perlulah menyenaraikan semua jenis bahan kandungan yang digunakan dalam penghasilan produk mereka. Ini kerana bagi memastikan setiap jenis bahan tersebut adalah halal dan tidak dilarang dalam hukum syarak. Namun begitu, JAKIM juga akan membuat pemantauan semasa dan selepas sijil halal dikeluarkan. Ini bagi memastikan setiap premis sentiasa mengikut peraturan yang disediakan oleh JAKIM. Ini membuktikan bahawa JAKIM mengambil berat tentang produk yang dipasarkan kepada pengguna dan menunjukkan elemen hisbah iaitu memastikan jenis bahan kadungan yang digunakan adalah mengikut hukum syarak. 


Oleh itu, JAKIM adalah sesebuah institusi yang menyeru kepada hisbah. JAKIM merupakan salah satu institusi yang menjalankan hisbah. Disebabkan itulah, JAKIM tidak mengeluarkan sijil halal sewenang-wenangnya kepada premis kerana JAKIM menjurus kepada amar makruf dan nahi munkar. 


RUJUKAN:

  1. Azrin Ibrahim (2014). "Amalan Hisbah di Malaysia". Diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Halaman 101.
  2. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspxk=memantau&d=10 
  3. Blog Suhartama Febrizki, http://suhartama.blogspot.com/2013/03/fungsi-pemantauan.html
  4. Ani Irawan, http://www.scribd.com/doc/57970839/halal-sop#scribd